Renungan Buat Manusia Yg Perasan ‘BAGUS’

Setiap dari kita melakukan dosa atau kesilapan, itu adalah suatu fakta yang tidak dapat disangkal. Namun begitu, ada diantara kita melakukan lebih banyak dosa berbanding yang lain. Ada yang mencuri, ada yang tidak. Ada yang merokok, ada yang tidak. Ada yang melakukan suatu dosa yang berat, dan ada juga mereka yang tidak melakukannya. Disebabkan terdapatnya perbezaan tahap perbuatan dosa tersebut, maka terdapatnya ruang dan peluang untuk mereka yang tidak melakukan dosa merasakan dirinya lebih baik (daripada mereka yang melakukan dosa). Ya, artikel saya kali ini bukanlah ditujukan kepada pendosa, sebaliknya golongan yang merasakan dirinya lebih baik dari yang lain.

Al-Hafiz Ibn Hajar menceritakan dalam kitab Fathul Bari bahawa Hafs bin Humaid pernah bertanya kepada Imam Ibn al-Mubarak, katanya "Aku melihat seseorang membunuh orang lain. Bolehkah aku berasa di dalam hati bahawa diriku lebih baik daripadanya?". Ibn al-Mubarak berkata, "Perasaan itu lebih berat daripada dosa orang itu".

Diceritakan bahawa suatu ketika, Nabi Isa a.s. sedang berjalan bersama-sama seorang muridnya. Tiba-tiba seorang lelaki yang terkenal suka melakukan maksiat mengikuti mereka dari belakang. Murid Nabi Isa itu menoleh ke arah orang itu dengan penuh kebencian, lalu dia berdoa di dalam hati, "Ya Allah, janganlah Engkau himpunkan diriku bersama orang ini". Nabi Isa a.s. tiba-tiba menoleh kepada muridnya dan berkata, "Doamu telah dikabulkan. Allah menerima taubat orang itu (si pelaku maksiat) dan mengusir kamu. Pergilah engkau dari sisiku".

Kita semua dituntut supaya membenci perbuatan dosa. Namun begitu, membenci pelaku dosa dan beranggapan bahawa kita lebih baik atau dia (si pelaku dosa) lebih hina sebenarnya suatu kesalahan yang cukup besar, kerana perkara ini termasuk di dalam salah satu cabang kesombongan.

Belum tentu seseorang yang sering melakukan maksiat dan dosa besar akan ke neraka. Kalaupun dia melakukan banyak dosa sehingga memenuhi langit dan bumi sekalipun, ketahuilah bahawa dosanya mungkin diampunkan Allah kelak sekiranya dia bertaubat.
Katakanlah, "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani"(Surah al-Zumar 39:53)

Jika Allah SWT sendiri telah mengatakan bahawa Dia Maha Pengampun, maka siapalah kita untuk memandang hina mereka yang melakukan dosa. Sebaiknya, kita mendoakan mereka yang melakukan dosa dengan kata-kata seperti, "Moga-moga Allah memberi pentunjuk dan hidayah kepada si dia". Itu jauh lebih baik daripada kita memalingkan muka dengan rasa benci, kerana itu menyamakan kita dengan syaitan.

Ingat!!! Syaitan yang sekian lama melakukan ketaatan kepada Allah, dek kerana kesombongannya merasakan dia lebih baik berbanding Adam, dilaknat Allah SWT. Semua amalannya selama ini menjadi sia-sia. Adakah kita, dek kerana merasakan diri kita lebih baik berbanding seseorang, sanggup menurut jejak langkah syaitan dan mengulangi sejarah yang sama?

Daripada Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis (maksudnya):"Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka dia dia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut".(Hadis riwayat al-Tirmizi).

Oleh itu, berhentilah daripada memandang hina mereka yang melakukan dosa, kerana setiap orang tidak terlepas daripada melakukan dosa atau kesilapan. Sebagai umat akhir zaman, kita dituntut supaya menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sebaiknya, kita bimbing si pelaku dosa dengan cara yang berhikmah supaya kembali ke jalan yang benar. Doakan mereka agar mendapat hidayah Allah dan meninggalkan perbuatan dosa. Mudah-mudahan usaha kita akan diberikan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

Comments

Popular posts from this blog

DAKAPAN RINDU

Along's Turn

Hadiah yg tak ku sangka2x.